DIALAH pemimpin, ditugaskan mencari nafkah, perancang serta pelindung sesebuah keluarga. Pengorbanan dan tanggungjawab yang dipikul seorang bapa tiada tandingannya. Kasih sayang yang terhubung kuat antara keluarga menyebabkan setiap bapa bersemangat membuktikan mereka individu terbaik kepada anak dan isteri.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka dan perempuan penjaga ke atas rumah tangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka." (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Seorang bapa mahu melihat seluruh ahli keluarganya hidup terbela walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai kemungkinan di hadapan mereka. Semua ibu bapa menganggap kejayaan terbesar mereka di dunia ini adalah kejayaan mendidik anak yang mampu menjadi penyambung keturunan yang berguna. Anak ibarat 'pelaburan' yang akhirnya akan kembali menguntungkan ibu bapanya selepas mereka meninggal dunia.
Hadis Riwayat Muslim menyatakan: "Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang sentiasa mendoakannya."
Islam mengajar umatnya supaya membentuk jati diri anak dengan amalan pengukuhan sejak kecil supaya dewasa kelak mereka membesar dengan sempurna. Contohnya, mengajar serta menyuruh anak menunaikan solat lima waktu sejak berusia tujuh tahun membuktikan amalan berkenaan amat penting sebagai asas kukuh menjadi insan berkeperibadian mulia.
Imam al-Ghazali berkata: "Anak-anak adalah amanah, hatinya yang bersih ibarat jawhar, jika dibiasakan dengan kebaikan akan bahagia dunia dan akhirat dan jika dibiasakan dengan kejahatan rosak dan binasalah dia."
Ibu bapa pastinya menginginkan anak yang lahir menjadi seorang yang pintar, memiliki rupa paras baik, mampu berdikari, disenangi orang ramai dan soleh. Pada masa sama, untuk memiliki anak yang soleh, ibu bapa juga perlu menjadi soleh. Cabaran menggalas amanah sebagai ketua keluarga membesarkan anak bukan proses singkat dan semudah yang disangka.
Benar, ibu bapa sanggup tidak mempunyai apa-apa asalkan apa yang anak mereka mahukan dipenuhi. Mendidik anak pada zaman serba moden ini berbeza dan amat mencabar. Keruntuhan nilai moral dan akhlak muda-mudi membuatkan tugasan sebagai bapa diuji. Menjadi kewajipan seorang bapa menyediakan nafkah kepada keluarga, tetapi jangan sampai perubahan gaya hidup mengejar kekayaan dan kejayaan tanggungjawab utama terhadap keluarga diabaikan.
Bapa juga perlu bijak mengawal dan mengesan sebarang perubahan tingkah laku anak mereka. Bukan mudah untuk memberi teguran kepada anak sekarang kerana mereka cepat melenting. Namun, bapa layak dan berhak menegur anak mereka. Bapa mithali perlu sentiasa melihat kepentingan penjagaan anak secara bersama. Bukannya hanya menyerahkan 100 peratus kepada isteri atau pembantu rumah.
Kewajipan ibu bapa zaman moden ini perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan keibubapaan sebelum mendirikan rumah tangga. Lihat bagaimana seorang insan biasa bernama Luqman al-Hakim mendidik anaknya. Allah merakamkan nasihat beliau kepada anaknya dalam al-Quran.
Beliau seorang yang bijaksana dalam urusan memberi pendidikan kepada anaknya. Luqman menerapkan pendidikan menyeluruh kepada anaknya mencakupi asas ibadat, akidah, akhlak serta dakwah.
Beliau berkata: "Wahai anakku, sesungguhnya jika ada amalan engkau (baik atau buruk) seberat biji sawi yang tersembunyi dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya didatangkan (dibalas) Allah juga. Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui."
"Wahai anakku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah orang (membuat) yang makruf (baik) dan laranglah (membuat) yang mungkar (haram) serta bersabarlah di atas cubaan yang menimpamu. Sesungguhnya demikian itu pekerjaan yang dicita-citakan." (Surah Luqman ayat 16-17)
Ketahuilah bahawa setiap doa yang dipanjatkan itu adalah sebuah harapan dan impian yang pasti dikabulkan Allah.
Bagi memantapkan kefahaman Islam di kalangan anak, bapa turut berperanan mewujudkan persekitaran agama di dalam rumah seperti memupuk minat membaca bahan bacaan berunsur akademik, membawa anak ke pesta buku atau mengikuti kem atau program ibadah.
Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin berkata, bapa layak diangkat menjadi mithali kerana mereka perlu menjadi qudwah hasanah (suri teladan) yang terbaik.
"Dalam konteks anak, paling mustahak adalah pendidikan atau pengarahan secara teladan. Anak-anak lazimnya belajar melalui pengamatan dan meniru perlakuan dan tindak-tanduk bapanya.
"Melalui pengamatan akan terbentuk sesuatu dalam mental anak dan akan menjadi pelajaran berguna kepada mereka. Oleh itu, setiap tingkah laku bapa akan membentuk proses pengukuhan yang akan sebati dengan peribadi anak," katanya.
Badli Shah berkata, mendidik anak perlu disesuaikan dengan zaman anak berdasarkan suasana dan pola tingkah laku mereka.
"Jika merujuk kepada teori corak asuhan Dua Dimensi Baumrind, terdapat empat jenis bapa iaitu autokratik (tinggi kawalan, kurang responsif), permisif indulgen (tinggi responsif kurang kawalan), demokratik (tinggi responsif dan kawalan) dan permisif negligen (rendah responsif dan kawalan).
"Justeru, terpulang kepada ibu bapa untuk menyesuaikan dengan empat corak asuhan berkenaan yang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing," katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa pendekatan kerohanian Islam iaitu dengan mengamalkan beberapa bacaan tertentu pada waktu tertentu sebagai doa khusus agar bermasalah berubah menjadi insan yang soleh.
"Dalam mendidik anak, perlu ada sifat sabar dan jangan bertindak kasar. Ini boleh diikhtiarkan dengan beberapa cara antaranya banyakkan berdoa kepada Allah dengan bertawajuh pada dinihari.
"Selain itu, bacakanlah empat ayat terakhir surah al-Hasyr iaitu ayat 21, 22, 23 dan 24. Lakukan ketika anak sedang tidur dan niatkan supaya Allah lembutkan hatinya untuk berkelakuan baik. Selepas membaca empat ayat itu, tiupkan di ubun kepalanya.
"Kaedah lain dengan membaca lima ayat pertama dalam surah Toha lalu ditiupkan ke arah bertentangan dengan hidungnya ketika dia menarik nafas sewaktu sedang tidur. Lima ayat dalam surah berkenaan mempunyai riwayatnya tersendiri," katanya.
Beliau berkata, wang ringgit yang dibelanjakan seorang bapa kepada keluarganya adalah nafkah paling afdal dan paling besar pahalanya di sisi Allah. "Tidak keterlaluan dikatakan bahawa pahalanya melebihi jihad di jalan Allah. Dalam hal ini, Tsauban r.a menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dinar yang paling utama yang dibelanjakan oleh seseorang adalah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya, dan dinar yang dibelanjakan oleh seseorang untuk tunggangannya dalam jihad di jalan Allah dan dinar yang diinfakkan oleh seseorang untuk teman-temannya di jalan Allah." (Riwayat Muslim).
"Maka bapa perlu mengetahui bahawa setiap nafkah yang diberikan kepada keluarganya amat besar pahalanya. Bahkan, nafkah itu dihitung sebagai amalan sedekah," katanya.
Badli Shah berkata, bukan perkara mudah untuk mencapai kesempurnaan dalam memberikan didikan terbaik kepada anak.
"Yang penting bukanlah ketinggian ilmu yang dimiliki seorang bapa, tetapi kemahiran dan hikmah yang sentiasa mereka pelajari setiap masa."
"Meluangkan masa bersama anak selama 24 jam sekalipun tidak bermakna, tetapi yang penting sekali adalah masa berkualiti yang diperuntukkan."
"Apa guna meluangkan masa berjam-jam dengan anak jika ia tidak diisi dengan perkara yang bermanfaat? Asyik menonton televisyen bersama, tetapi tidak bercakap sepatah pun," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan