.

Halaman

Jumaat, 24 September 2010

Tidur Selama 100 Tahun

Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang subur dengan pepohonan yang hijau daunnya dan lebat buahnya. Hatinya terpesona dengan keindahan pemandangan kebunnya. Ia pun memetik beberapa buah-buahan untuk dibawa pulang. Setelah itu ia pulang dengan keledainya sambil menikmati keindahan alam sekitarnya. Ia tidak sadar bahwa keledai yang ditungganginya telah tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah ia sadar bahwa ia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali serta sudah jauh dari desa tempat tinggalnya.

‘Uzair memperhatikan sekeliling daerah yang asing itu. “Hmm.. Tempat ini seperti bekas sebuah kampung yang binasa akibat peperangan dahsyat…” fikirnya.Di beberapa sudut kampung itu tampak bekas-bekas runtuhan dengan mayat-mayat manusia yang bergelimpangan dimana-mana. Ia pun turun dari keledainya dengan membawa dua bekas buah-buahan. Keledainya ia ditambatkan pada sebatang pohon, lalu ia duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh. Ia pandangi mayat-mayat manusia yang sudah mulai membusuk itu. Fikirannya mulai berkecamuk, "Hmm.. Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu pada hari kiamat dihidupkan kembali oleh Allah?" Ia terus memikirkan itu hingga tertidur karana keletihan.

‘Uzair terus tertidur hingga hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun pun berganti tahun tanpa terbangun sedetik pun. Seratus tahun berlalu sudah, sementara ‘Uzair tetap tertidur dengan jasad yang sudah hancur menyatu dengan tanah.

Kemudian Allah SWT menyusun kembali daging dan tulang belulang ‘Uzair yang sudah hancur itu lalu ditiupkan ruhnya. Seketika itu juga 'Uzair terbangun dan berdiri mencari keledai dan buah-buahannya di dalam bakul.Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya, "Tahukah engkau wahai 'Uzair berapa lama engkau tidur?” Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab, "Aku tertidur seharian atau mungkin setengah hari."Lalu malaikat pun berkata kepadanya, "Wahai ‘Uzair, engkau telah tertidur selama seratus tahun. Disinilah engkau berbaring, ditimpa hujan dan panas matahari, bahkan kadang ditiup badai. Dalam masa yang begitu panjang itu, buah-buahanmu tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keledaimu, dia sudah hancur dimakan bumi”.Dengan penuh kehairanan, bergantian ia pandangi buah-buahan yang masih segar dan keledainya sudah hancur tidak berbentuk.

Malaikat pun melanjutkan perkatannya, "Lihat dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur. Dengan semudah itu pula Allah akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati untuk dihisab dan diadili segala perbuatannya kelak di akhirat. Hal ini diperlihatkan oleh Allah kepadamu agar engkau dan manusia-manusia lain tidak ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan oleh Allah tentang kehidupan di akhirat".

Tiba-tiba keledai yang sudah hancur berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya dan akhirnya menjadi seperti sediakala, hidup sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang aku semakin yakin bahwa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”. Lalu ‘Uzair menghampiri keledainya dan menungganginya pulang ke rumahnya dahulu. Namun ia kesulitan mencari jalan pulang. Jalan yang dulu pernah ia lalui sudah banyak berubah. Ia mencuba mengingat-ingatkan apa yang pernah dilihatnya seratus tahun lalu. Setelah menempuh berbagai kesulitan, akhirnya ia pun sampai di rumahnya. Ia mendapati rumahnya sudah porak poranda, sebagian besar dinding-dinding rumahnya telah runtuh. Ia pun mulai ragu, “Apa benar ini rumahku dulu..” Tiba-tiba ‘Uzair melihat ada seorang perempuan tua berjalan tertatih-tatih. Kedua matanya telah buta, hingga ia harus berjalan meraba-raba menggunakan tongkatnya. Lantas ‘Uzair pun bertanya, "Maaf bu.. Rumah siapakah ini?”

Perempuan tua itu menjawab. "Ini adalah rumah 'Uzair, tetapi ia telah lama pergi dan tidak lagi didengar kabar beritanya. Lagi pula semua orang sudah melupakannya”.“Ibu.. akulah 'Uzair," jelas 'Uzair. "Aku telah dimatikan oleh Allah seratus tahun yang lalu. Sekarang aku sudah dihidupkan kembali oleh Allah”. Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata, "'Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dikabulkan oleh Allah dan telah banyak jasanya dalam mengubati orang-orang yang sakit" sambungya lagi, "Aku ini pelayan ‘Uzair, badanku telah tua dan lemah, mataku pun telah buta karana selalu menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair maka cubalah tuan doakan kepada Allah supaya mataku terang kembali dan dapat melihat tuan."

Uzair pun menengadahkan kedua tangannya ke langit lalu berdoa kepada Allah. Tiba-tiba kedua mata perempuan tua itu pun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah menatap wajah 'Uzair dia pun berkata, "Benar, tuanlah 'Uzair. Aku masih ingat".

Berita tentang kembalinya ‘Uzair setelah seratus tahun menghilang itu bukan saja mengejutkan orang-orang Bani Israil, tetapi ada juga yang meragukan dan tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya bertanya, "Aku masih ingat bahwa bapakku mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada, benarlah dia 'Uzair."

Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebagian dari mereka. Akan tetapi sebagian lagi masih ingin bukti yang lebih nyata, maka mereka berkata kepada 'Uzair, "Bahwa sejak penyerbuan Nebukadnezar pada bangsa Bani Israil dan setelah tentara tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tidak ada seorang Bani Israil pun yang hafal isi Taurat kecuali 'Uzair saja. Kalau memang benar tuan adalah ‘Uzair, cuba tuan sebutkan isi Taurat yang benar."

'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahwa sungguh benar itulah 'Uzair. Ketika itu, semua bangsa Bani Israil pun percaya bahwa dialah 'Uzair yang telah mati dan dihidupkan kembali oleh Allah. Banyak di antara mereka yang bersalaman dan mencium tangan 'Uzair serta meminta nasihat-nasihatnya. Tetapi sebagian kaum Yahudi yang bodoh menganggap 'Uzair sebagai anak Allah. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak saperti 'Uzair mahupun Isa karana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka. [ QS. Al Baqoroh : 259]

Gadis Cantik Tetapi Buta,Pekak dan Lumpuh


Wanita solehah, yang merupakan wanita pilihan yang tidak terdedah kepada lelaki yang bukan mahram, diumpamakan seperti bidadari yang dipingit di dalam khemah-khemah. Wanita sebegini akan menjadi penghuni syurga, sebagaimana kisah ibunya Syeikh Abdul Qadir Jailani.

Syeikh Abdul Qadir Jailani hasil dari percantuman benih Abu Saleh Janghidost dgn Fatimah. Abu Saleh adalah seorang pemuda yang sangat cinta kepada Allah. Kewarakannya boleh dilihat dari sejarah hidupnya.

MENGAMBIL YANG BUKAN HAK MILIK SENDIRI

Sebelum bertemu jodoh dengan Fatimah, pada suatu hari, seperti biasa Abu Saleh duduk di tepi sungai bertafakur. Kemudian perutnya terasa sangat lapar kerana sudah lama tidak makan. Kebetulan waktu itu dilihatnya sebiji epal sedang terapung-apung di sungai. Lalu diambilnya dan dimakan. Semasa sedang mengunyah, maka teringatlah dia bahawa epal tersebut tentu hak milik orang. Abu Saleh merasai dirinya telah melakukan dosa kerana memakan buah epal tersebut tanpa meminta izin daripada pemiliknya terlebih dahulu.

Atas rasa takut kepada Allah, Abu Salleh menyusuri hulu sungai tersebut semata-mata untuk mencari tuan punya epal itu bagi meminta maaf (halal). Setelah berhari-hari berjalan tanpa sebarang bekalan makanan, akhirnya Abu Saleh menjumpai sebatang pokok epal dan yakinlah dia bahawa epal yang dimakan tempoh hari adalah dari pokok itu. Tanpa membuang masa, Abu Saleh terus pergi berjumpa dengan tuan punya pokok epal itu, iaitu Abdullah Saumi yang berketurunan Imam Hussin R.A.


Abdullah Saumi mengenali kewarakan Abu Saleh yang begitu luhur dan berkeyakinan beliau dari keturunan yang baik. Melihat perangai dan akhlak Abu Saleh yang begitu luhur dan mulia, Abdullah Saumi telah jatuh hati dan tidak sanggup berpisah dengan pemuda itu. Lalu Abdullah Saumi membuat helah akan memaafkan kesalahan Abu Saleh tetapi dengan bersyarat. Syaratnya, Abu Saleh mesti berkhidmat dengan beliau selama 12 tahun untuk menguruskan kebun epalnya. Abu Saleh telah menerima hukuman itu dan bekerjalah ia dengan taat selama tempoh tersebut.


MENGAHWINI GADIS BUTA, PEKAK, DAN LUMPUH

Setelah 12 tahun, Abdullah Saumi mengadakan syarat lagi bahawa beliau rela memaafkan kesalahan Abu Saleh sekiranya Abu Saleh sanggup mengahwini anak perempuannya yang buta matanya, pekak telinganya dan lumpuh kedua-dua tangannya serta kakinya. Kemudian mereka mesti tinggal di situ bagi tempoh 2 tahun lagi bagi membolehkan beliau melihat cucunya. Syarat tersebut sungguh berat, tetapi demi mencari keredhaan Allah, diturutinya juga.

Setelah diakad nikah maka masuklah Abu Saleh ke dalam bilik anak perempuan Abdullah Saumi yang sudah sah menjadi isterinya. Alangkah terkejutnya Abu Saleh apabila mendapati wanita di hadapannya mempunyai rupa paras yang sangat jelita dan tidak cacat. Lantaran itu, tidak mahu didekatinya wanita tersebut kerana disangka bukan isterinya.

Abu Saleh segera menemui Abdullah Saumi. Akhirnya orang tua itu menerangkan hakikat kata katanya kepada Abu Saleh.

"Aku katakan anak perempuanku itu buta matanya kerana dia tidak pernah memandang lelaki yang bukan muhrimnya, pekak telinganya kerana tidak pernah mendengar kata-kata yang tidak benar, lumpuh kedua-dua tangannya kerana tidak pernah menyentuh perkara-perkara yang diharamkan, dan lumpuh kedua-dua kakinya kerana tidak pernah melangkah ke tempat-tempat mungkar."

Selepas itu barulah Abu Saleh mahu menyentuh isterinya. Dan hasil daripada perkahwinan pemuda yang wara’ dengan isterinya yang solehah itu, maka lahirlah seorang anak yang akhirnya membesar menjadi seorang wali Allah yang masyhur dan tinggi ilmunya, iaitulah Syeikh Abdul Qadir Jailani.

MUTIARA INDAH

Demikianlah mutiara indah para wanita solehah, yang betul-betul mencontohi bidadari-bidadari di syurga. Mereka seolah-olah wanita pingitan yang tidak mendedahkan diri dan auratnya di hadapan lelaki bukan mahram. Tidak memandang kepada lelaki dan tidak dipandang oleh lelaki. Memelihara kesucian dirinya daripada terdedah kepada yang bukan mahram…

Notakaki: Secara syara'nya, buah epal yang telah jatuh ke dalam sungai lalu dihanyutkan air itu sememangnya boleh dimakan tanpa perlu minta izin kerana ianya sudah berada di luar kawasan tuan rumah. Namun disebabkan peribadinya yang amat wara’, maka Abu Saleh merasa bersalah lalu berusah mencari tuan pemilik epal tersebut bagi tujuan meminta maaf. Sikap begini adalah sangat mulia dan wajar dicontohi. Lihatlah balasan setimpal yang diterimanya – seorang yang soleh akhirnya pasti akan mendapat pasangan yang solehah. Oleh itu berusahalah terlebih dahulu untuk memperbaiki akhlaq diri… Dan kepada ibubapa yang mempunyai anak perempuan, ujilah terlebih dahulu pasangan anak anda untuk menilai sejauh mana keikhlasan lelaki tersebut…

Sabtu, 18 September 2010

Kisah Sa'labah...


Suatu hari Rasulullah SAW sedang bersolat bersama para sahabat Baginda. Di antara sederetan sahabat di belakang Rasulullah, kelihatan seorang yang kusut masai rambutnya dengan berpakaian lusuh. Ia dikenali sebagai seorang sahabat yang tekun beribadah.

Setelah menyelesaikan solat, sahabat berpakaian lusuh itu segera bergerak pulang tanpa membaca wirid dan berdoa terlebih dahulu, lalu Rasulullah menegurnya: “Tsa’labah! Mengapa engkau tergesa-gesa pulang. Tidakkah engkau berdoa terlebih dahulu. Bukankah tergesa-gesa keluar dari masjid adalah kebiasaan orang-orang munafik?”

Tsa'labah menghentikan langkahnya. Beliau sangat malu kerana ditegur oleh Rasulullah SAW, maka terpaksalah dia berterus terang kepada Rasulullah. "Wahai Rasulullah, kami hanya memiliki sepasang pakaian untuk solat dan ketika ini isteriku di rumah belum melaksanakannya solat kerana menunggu pakaian yang aku kenakan ini. Pakaian yang hanya sepasang ini kami gunakan untuk solat secara bergantian. Kami sangat miskin. Untuk itu, ya Rasulullah, jika engkau berkenan, doakanlah kami agar Allah menghilangkan semua kemiskinan kami ini dan memberi rezeki yang banyak."

Pada mulanya Rasulullah SAW menolak permintaan tersebut sambil menasihati Tsa'labah agar meniru kehidupan Baginda sahaja. Namun Tsa'labah terus mendesak beberapa kali. Akhirnya dia mengemukakan alasan yang sering kita dengar: "Ya Rasulullah, bukankah kalau Allah memberikan kekayaan kepadaku, maka aku dapat memberikan kepada setiap orang haknya?"

Rasulullah SAW akhirnya mendoakan Tsa'labah. Kemudian Rasulullah SAW memberikan kambing betina yang sedang bunting kepada Tsa’labah: "Peliharalah kambing ini baik-baik", pesan Rasulullah. Ternakannya mula berkembang biak sehingga dia terpaksa membina ladang ternakan yang agak jauh dari Madinah. Seperti yang diduga, setiap hari dia sibuk menguruskan ternakannya. Lama-kelamaan, dia tidak lagi menghadiri solat berjemaah bersama Rasulullah SAW di siang hari.

Hari-hari seterusnya, ternakannya semakin membiak, sehingga semakin sibuk pula Tsa'labah mengurusnya. Kini, dia tidak dapat lagi berjemaah bersama Rasulullah SAW. Bahkan menghadiri solat Jumaat dan solat jenazah pun tak dapat dilakukannya lagi.

Ketika turun perintah zakat, Rasulullah SAW memerintahkan dua orang sahabat untuk mengambil zakat daripada Tsa'labah. Sayang, Tsa'labah menolak utusan Nabi itu. Ketika utusan Nabi datang melaporkan masalah Tsa'labah ini, Nabi menyambut utusan itu dengan ucapan beliau: "Celakalah Tsa'labah!" Rasulullah SAW murka, dan Allah SWT pun murka!

Ketika itu turunlah ayat Quran dari Surah At-Taubah ayat 75-78: "Dan di antara mereka ada yang telah berikrar kepada Allah: "Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang soleh."

”Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaNya, mereka kikir dengan kurnia itu, dan berpaling, dan mereka memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran).“

“Maka Allah menimbulkan kemunafikan dalam hati mereka sampai pada waktu mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang telah mereka ikrarkan kepadaNya dan (juga) kerana mereka selalu berdusta.”

”Tidaklah mereka tahu bahawasanya Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka, dan bahawasanya Allah amat mengetahui yang ghaib?"

Tsa'labah mendengar ada ayat turun mengecam dirinya, dia mulai ketakutan. Segera dia menemui Rasulullah SAW sambil menyerahkan zakatnya. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya: "Allah melarang aku menerimanya." Rasulullah SAW mengambil segenggam tanah lalu ditaburkan di atas kepala Tsa’labah: “Inilah perumpamaan amalanmu selama ini, sia-sia belaka. Aku telah perintahkan agar engkau menyerahkan zakat tetapi engkau menolak, celakalah engkau Tsa’labah”.

Tsa'labah menangis tersedu-sedu. Setelah Rasulullah SAW wafat, Tsa'labah menyerahkan zakatnya kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a., kemudian Saidina Umar Al-Khattab r.a., tetapi kedua Khalifah itu menolaknya. Tsa'labah akhirnya meninggal dunia pada masa pemerintahan Saidina Utsman Al-Affan r.a.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Bersedekahlah, dan jangan tunggu satu hari nanti di saat engkau ingin bersedekah tetapi orang miskin menolaknya dan mengatakan 'kami tidak memerlukan wangmu, yang kami memerlukan adalah darahmu’!"

Di manakah Tsa'labah sekarang? Jangan-jangan kitalah Tsa'labah-Tsa'labah baru yang dengan linangan air mata memohon agar rezeki Allah turun kepada kita, dan apabila rezeki itu diterima, dengan sombongnya akhirnya kita lupakan kemurahan Allah SWT.

Apakah mungkin kitalah Tsa'labah? Mungkin benar, mungkin tidak. Tetapi yang nyata, Tsa'labah masih hidup dan ‘mazhab’nya masih popular sehingga kini...

Wallahua'lam.

Jumaat, 17 September 2010

7 Peringatan..

Imam Al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya, “Mukasyafah Al-Qulub” mengajarkan kita untuk melakukan 7 perkara agar sentiasa takut kepada Allah SWT:

1. Takut kepada lidah
Hendaklah mencegah lidah dari perkataan dusta, memfitnah, menipu dan perkataan yang tidak berguna atau sia-sia. Sebaliknya, lidah sepatutnya digunakan untuk berzikir kepada Allah, membaca Al-Quran dan menghafal ilmu.

2. Takut kepada kalbu
Hendaklah mengeluarkan dari dalam hati rasa permusuhan dan kedengkian. Ini adalah kerana hasad dengki dapat menghapuskan amal kebajikan, sebagaimana sabda junjungan mulia Rasulullah SAW: “Hasad dengki memakan kebaikan seperti api membakar daun kering.”

3. Takut pada pandangan
Hendaklah menahan pandangan terhadap perkara-perkara yang diharamkan Allah. Sebaliknya, kita hendaklah mengarahkan pandangannya kepada sesuatu seraya mengambil pelajaran hidup (`ibrah) sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang memenuhi kedua matanya dengan pandangan haram, nescaya pada hari kiamat, Allah akan memenuhi kedua matanya dengan api neraka.”

4. Takut pada perut
Hendaklah menghindari dari memasukkan ke dalam perut segala makanan dan minuman yang haram. Sebagaimana hadis yang bermaksud: “Apabila satu suap makanan yang haram jatuh ke dalam perut anak Adam, setiap malaikat di bumi dan langit melaknatnya selama suapan berada di dalam perutnya. Jika ia mati dalam keadaan itu, tempat kembalinya adalah neraka jahanam.”

5. Takut pada tangan
Hendaklah menahan tangan dari digunakan kepada jalan kemungkaran, sebaliknya hendaklah digunakan pada jalan yang diredhai Allah. Hayatilah sabda Rasulullah SAW: “Allah SWT membangunkan sebuah rumah itu 70 ribu buah rumah yang masing-masing memiliki 70 ribu kamar. Tidak ada orang yang dapat memasukinya kecuali orang yang meninggalkan setiap yang haram kerana Allah.”

6. Takut pada kaki
Hendaklah tidak keluar (berjalan) untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah. Tetapi, sebaliknya berjalan pada ketaatan dan keredhaan Allah SWT serta untuk bergaul dengan para ulama.

7. Ketaatan
Hendaklah melakukan ketaatan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT serta takut akan riya' dan kemunafikan. Apabila melakukan demikian, termasuklah ke golongan orang-orang yang disebut oleh Allah dalam firmanNya di dalam surah At-Thur ayat 17 dan surah Az-Zukhruf ayat 35:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam syurga dan kenikmatan." (QS At-Thur: 17)

"Dan perhiasan-perhiasan. Dan semuanya itu tidak lain hanyalah kesenangan kehidupan dunia, dan kehidupan akhirat itu di sisi Tuhanmu adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (QS Az-Zukhruf: 35)

Semoga kita diredhai Allah SWT di dunia dan di akhirat. Amein... ::

Untukmu Muslimah..

Ibnu Umar r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Wahai kaum wanita! Kamu bayarlah sedekah dan banyak bertaubat, kerana aku melihat kebanyakan penghuni neraka adalah wanita.” Salah seorang daripada pendengar berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah kesalahan kami yang kebanyakan daripada kami akan memasuki neraka?” Rasulullah SAW menjawab: "Kamu paling kerap mempunyai tabiat melaknat (semasa perbualan) dan kamu lebih tidak bersyukur kepada suami kamu. Aku tidak melihat seseorang yang kekurangan dalam ketakwaan dan hikmah seperti kamu tetapi menguasai seorang yang berhikmah.” (HR Bukhari & Muslim)


Ibnu Mas’ud r.a. telah memberitakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Seseorang wanita patut ditutupi kerana apabila dia keluar, syaitan akan memandangnya.” (HR Tirmidzi)

Begitu juga, maka perlulah wanita menjaga suara supaya tidak didengari oleh orang luar. Adalah juga penting, lelaki menghindari dari melafazkan puisi di khalayak wanita lain oleh kerana wanita bersifat lembut hatinya dan mudah cenderung kepada pengaruh buruk.

Hasan Al-Basri r.a. memberitahu bahawa dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ”Allah melaknati orang yang memandang kepada seseorang wanita asing dan juga seseorang yang dipandang itu.”

Abu Musa r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Mata yang memandang kepada seseorang lelaki atau wanita asing dengan niat buruk adalah penzinaan dan seseorang wanita yang mewangikan dirinya dan kemudiannya lalu di hadapan khalayak lelaki adalah tiada bezanya." (HR Tirmidzi & Abu Dawud)

Ibnu Mulaika r.a. memberitahu bahawa apabila seseorang menyatakan kepada Aisyah r.a. bahawa seorang wanita sedang memakai sandal (kasut lelaki), maka dia menjawab bahawa Rasulullah melaknati wanita yang bersifat kelakian. (HR Abu Dawud)

"Adalah sunnah bagi wanita mengucap salam dan selamat antara satu sama lain dan berjabat tangan. Ini patut digalakkan." (HR Tabrani & Baihaqi)

*Nota: antara sesama wanita sahaja.

Ibnu Abi Dunya dan Baihaqi telah memberitakan dari Ash Shabi bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Laknatlah kepada penyanyi-penyanyi perempuan dan kepada sesiapa yang mereka nyanyikan.”

Dalam hadis: "Di antara wanita-wanita di dunia ini ada yang kecantikannya melebihi dari bidadari kerana amal perbuatannya ketika di dunia." (Tanbihul Ghafilin, Abu Laits As-Samarqandi)

Abu Hurairah r.a. berkata: "Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, sebagaimana dahulu di dunia bertambah tua." (Tanbihul Ghafilin, Abu Laits As-Samarqandi)

Anas r.a. berkata bahawa suatu ketika sekumpulan wanita datang menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Ya Rasulullah, kaum lelaki telah memperoleh banyak pahala dengan ikut serta dalam jihad. Tunjukkan kepada kami suatu amalan yang dapat membantu kami memperoleh pahala sebagaimana yang telah dicapai oleh para mujahid." Rasulullah SAW bersabda: “Seorang di antara kamu yang tinggal di rumahnya (menjaga malu dan kehormatannya), akan memperoleh pahala jihad.” (Musnad Bazzar)

“Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa di bulan (Ramadhan), menjaga kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka akan dikatakan kepadanya: ”Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu syurga mana saja yang kamu kehendaki.” (HR Ahmad)

Dari Abu Hurairah r.a. dalam hadis yang panjang berkata: Bersabda Rasulullah: "Ada dua kelompok penghuni neraka yang belum pernah aku lihat; suatu kaum yang memiliki pecut seperti ekor sapi dan dipergunakan untuk memukul orang lain, dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang, berjalan sambil berlenggak-lenggok, kepala mereka bagaikan punuk unta, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak pula dapat mencium wanginya, padahal wangi syurga dapat tercium dari jarak sekian dan sekian." (HR Muslim)

Sayyidina Ali k.w.j. berkata: “Adakah kamu tidak merasa malu? Adakah kamu tidak merasa cemburu? Salah seorang daripada kamu membiarkan isterinya keluar di kalangan para lelaki ajnabi. Dia melihat kepada mereka dan mereka dapat melihat kepadanya.” (Hukum Wanita Bermusafir, Syeikh Nuruddin Merbu Banjar al-Makki)

Firman Allah SWT: “Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman agar menundukkan pandangan mereka...”(QS An-Nur: 31)

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu seluruhnya akan ditanyakan - perihal perbuatannya masing-masing." (QS Al-lsra': 36)

Rasulullah SAW bersabda: “Aku tidak meninggalkan sesudahku fitnah bagi kaum lelaki lebih berbahaya dari perempuan.” (Muttafaqun Alaih)

Dari Ma’al bin Yasir r.a., sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Lebih baik bagimu jika sebuah paku baja ditancapkan ke kepalamu daripada engkau menyentuh wanita yang tidak dihalalkan bagimu.”(HR Thabrani & Baihaqi)

Dari Abu Said r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah seseorang lelaki itu melihat kepada auratnya orang lelaki lain, jangan pula seseorang wanita melihat auratnya orang wanita lain. Jangan pula seseorang lelaki itu berkumpul tidur dengan orang lelaki lain dalam satu pakaian dan jangan pula seseorang wanita itu berkumpul tidur dengan orang wanita lain dalam satu pakaian." (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah sekali-kali seseorang lelaki di antara engkau semua itu menyendiri dengan seorang wanita, melainkan haruslah ada mahramnya beserta wanita tadi." (Muttafaqun Alaih)

Ibnu Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya malu dan iman adalah dua bersaudara. Jika salah satunya hilang, maka yang lainnya dengan sendirinya akan hilang.” (HR Baihaqi)

Wallahua'lam.

Khamis, 16 September 2010

Buat Kaum Hawa..


Fenomena isteri meleteri suami atau dengan kata lain, tidak menghormati suami, bagaikan sudah menjadi satu perkara biasa bagi kebanyakan pasangan dewasa ini. Malah si isteri seolah-olah tiada sedikitpun merasa bersalah melayani suami mereka seperti adik, kawan atau anak lelaki atau sesiapa sahaja lagaknya.

Apa yang lebih mendukacitakan ialah terdapatnya isteri yang menganggap menjaga hati atau melayani suami dengan bersikap sopan sudah tidak sesuai dalam keadaan masyarakat kita hari ini atau mungkin dianggap sebagai ketinggalan zaman. Ini menunjukkan bahawa tidak sedikit peranan dan pengaruh media massa, terutamanya televisyen, dalam ‘mendidik’ kaum Hawa di zaman ini.
Sebenarnya keadaan ini akan menjadi model yang tidak baik terhadap pertumbuhan jiwa anak-anak yang akan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi lain sehingga akhirnya menjadi satu budaya yang negatif dalam kehidupan berkeluarga.
Terdapat banyak nash-nash di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan tentang kewajipan isteri mentaati suami, selama mana isteri tidak disuruh melakukan perkara-perkara maksiat. Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW: “Jika sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada suaminya.” (HR Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain daripada ‘Aisyah r.a.: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapa orang yang lebih berhak ke atas seorang perempuan? Baginda bersabda: “Suaminya.” (HR Al-Bazzar dan Al-Hakim)
Sementara dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.: “Seorang perempuan telah datang menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, hamba adalah utusan perempuan-perempuan menghadap Tuan, bagi menanyakan perkara bahawa jihad, berperang di medan peperangan kerana membela pada jalan Allah dan agama telah difardhukan ke atas lelaki, jika mereka menang mereka dapat harta tawanan, dan jika mereka dibunuh mereka hidup di sisi Tuhan mereka dan makan rezeki di sana, dan kami kaum perempuan menjaga dan membantu mereka, maka apa yang kami dapat daripada perbuatan tersebut?”
Rasulullah SAW bersabda: “Anda sampaikan kepada perempuan-perempuan yang anda jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami itu sama dengan pahala berperang dengan musuh- musuh Islam di medan peperangan, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka.” (HR Al-Bazzar dan At-Thabrani).
Hadis-hadis di atas menerangkan betapa memelihara dan menghormati hak suami serta ketaatan isteri terhadap suami amat dititikberatkan oleh agama Islam. Hatta jika suami itu berkedudukan rendah berbanding dengan isteri, umpamanya suami sebagai buruh sementara isteri pula guru, doktor dan seumpamanya, namun kedudukan atau martabat suami sebagai pemimpin atau ketua keluarga tetap tidak terjejas sama sekali.
Oleh yang demikian, isteri tidak boleh beranggapan bahawa dengan kedudukannya yang lebih baik membolehkannya bertindak sesuka hati seperti membelakangkan suami atau mengambil alih peranan suami sebagai ketua dalam keluarga. Jika ini berlaku, ia amat bercanggah dengan syariat Islam, sebagaimana firman Allah SWT: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.” (QS An-Nisa’: 34)
Bagi isteri yang tidak mentaati atau enggan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan sempurna pasti akan menerima balasan di akhirat kelak sebagaimana yang pernah digambarkan oleh Rasulullah SAW ketika Baginda diisra’kan ke langit dimana Baginda telah diperlihatkan dengan neraka yang kebanyakan penghuninya terdiri daripada kaum wanita.
Sebagaimana yang diceritakan oleh Saidina Ali k.w. dalam satu riwayat: “Suatu hari aku masuk ke rumah Nabi beserta Fatimah, aku mendapati Baginda sedang menangis. Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apa yang membuatkan tuan menangis?" Baginda menjawab: “Wahai Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan daripada umatku diseksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku lihat." Saidina Ali k.w. bertanya: “Apa yang anda lihat, wahai Rasulullah?” Rasululah SAW bersabda: “Aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya, sedang api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya dan aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan rambutnya sehingga mendidih otak kepalanya dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dua kakinya dalam keadaan terikat dan dilumurkan minyak tanah pada seluruh badanya lalu dituangkan air panas pada lehernya……”
Anakandanya Siti Fatimah r.a. berkata: “Khabarkan kepadaku apa yang menyebabkan mereka diseksa?” Baginda bersabda: “Adapun perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan air panas dituangkan ke dalam lehernya itu kerana dia sering menyakiti hati suaminya. Sementara perempuan yang tergantung dengan rambutnya sehingga mendidih otak kepalanya adalah disebabkan dia tidak mahu menutup aurat (rambut) daripada lelaki lain. Adapun perempuan yang tergantung dengan dua kakinya itu adalah disebabkan dia keluar rumah tanpa izin suaminya….”
Sungguh amat dahsyat seksaan yang akan diterima, jika isteri mengabaikan hak-hak suami, tidak menghormatinya, apatah lagi menyakiti hatinya.
Sebenarnya bukan tidak boleh para isteri menegur suami, tetapi ia memerlukan masa yang sesuai dengan dibawa berbincang, ketika keadaan mengizinkan. Bukan dengan membebel sepanjang hari. Tetapi apa yang berlaku hari ini ialah adanya segelintir isteri yang tergamak bercakap kasar dan mengherdik suaminya kerana tidak mendapat apa yang diinginkan, sehingga kadang-kadang sampai tidak bertegur sapa dan bermasam muka.
Lebih dahsyat dan buruk lagi apabila isteri membanding-bandingkan suaminya dengan suami orang lain yang mampu memberikan permintaan isterinya, sekali gus dilabelkan pula sebagai suami mithali. Betapa rendahnya martabat suami. Jadi, suami mana yang tidak tersentuh dengan ungkapan-ungkapan sedemikian ?
Sebenarnya bukan tidak boleh sama sekali meminta sesuatu daripada suami, tetapi janganlah sampai membebankan mereka. Apalah gunanya, jika suami berhutang keliling pinggang hanya untuk memenuhi hasrat isteri. Mintalah mengikut kemampuan suami dan sentiasa bersifat ‘qanaah’ atau merasai cukup dengan apa yang diberikan, kerana bagi isteri yang sedemikian akan mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Sebaliknya, bagi isteri yang tidak pernah menghargai atau bersyukur, Allah SWT tidak akan memandang kepadanya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya." (HR An-Nasa’i)


Islam juga menyarankan supaya para isteri melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, mencuci pakaian, mengasuh dan menjaga anak-anak, melayani kehendak suami dan sebagainya dengan penuh ikhlas dan tabah. Mungkin bagi setengah orang, agak sukar untuk dilaksanakan apatah lagi dalam situasi zaman sekarang di mana isteri juga bekerja. Namun percayalah, ia bukan saja akan menjadi perkara biasa tetapi juga ringan dan lancar jika kita menganggapnya sebagai ibadah dan juga satu jihad.
Marilah kita sama-sama merenungi kisah anakanda kesayangan Rasulullah SAW iaitu Siti Fatimah az-Zahra yang melaksanakan rutin hariannya sebagai seorang suri rumahtangga tanpa pembantu rumah. Suatu hari, Fatimah telah meminta suaminya Saidina Ali k.w. supaya menemui Rasulullah SAW dan meminta jasa baik Baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan perang sebagai pembantu rumah mereka.
Rasulullah SAW bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya kerana semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu tidak menjadi milik Baginda, tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin. Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya.
Permintaan Fatimah itu membimbangkan Baginda, bukan kerana tugas berat yang sedang dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan oleh bayangan keluh kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu dilaksanakannya.
Pada sebelah malamnya Baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya: “Apakah kamu berdua (Ali dan Fatimah) suka kepada pemberian yang akan ku berikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada apa yang kamu minta pada siang hari tadi?”
Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya. Rasulullah SAW menyatakan kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar sebanyak 33 kali setiap hari sebelum tidurnya.
Semenjak itu wirid yang diajarkan oleh Rasulullah SAW telah menjadi amalannya dan suaminya. Hasilnya Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat, malah merasa cukup bahagia melakukannya.
Apa yang berlaku pada hari ini, hampir sebahagian besar keluarga mempunyai pembantu rumah, yang bertanggungjawab menguruskan semua kerja-kerja rumah, termasuk menyediakan makanan, pakaian dan sebagainya. Tanpa pembantu terasa pincang pentadbiran rumahtangga dan banyak perkara yang tidak dapat diuruskan dengan baik dan teratur. Kenapa? Sudah pasti jawapannya mudah, tidak cukup masa untuk melakukan kerja-kerja tersebut terutamanya bagi wanita yang berkerjaya.
Adakah jawapan itu tepat? Kaum wanita harus sedar, selaku isteri, ibu dan juga wanita yang berkerjaya mereka harus pandai dan bijaksana dalam mengatur dan membahagikan tugas dan masa. Jika di amat-amati betapa ruginya selama ini bagi isteri yang membiarkan kerja-kerja rumah ditangani oleh pembantu rumah. Betapa tidaknya, jika kerja-kerja tersebut dilakukan sendiri dengan hati yang ikhlas, dengan mudah saja mereka mendapat ganjaran atau pahala yang berlipat ganda.
Bagi para suami pula, sifat tolak ansur dan saling bekerjasama amat diharapkan. Isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki tambahan untuk menyara keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami. Jadi apalah salahnya, kiranya para suami bersama-sama membantu kerja-kerja di rumah. Bukankah ini salah satu ciri keluarga harmoni?
Keharmonian rumah tangga akan terbentuk jika suami dan isteri saling faham memahami, bekerjasama, bertolak ansur, berunding dalam menyelesaikan masalah dan tidak mementingkan diri sendiri. Oleh itu tanamkan ciri-ciri yang membawa keharmonian berumahtangga itu, agar kita akan hidup bahagia di dunia dan akhirat.
Wallahua’lam.