.

Halaman

Sabtu, 18 September 2010

Kisah Sa'labah...


Suatu hari Rasulullah SAW sedang bersolat bersama para sahabat Baginda. Di antara sederetan sahabat di belakang Rasulullah, kelihatan seorang yang kusut masai rambutnya dengan berpakaian lusuh. Ia dikenali sebagai seorang sahabat yang tekun beribadah.

Setelah menyelesaikan solat, sahabat berpakaian lusuh itu segera bergerak pulang tanpa membaca wirid dan berdoa terlebih dahulu, lalu Rasulullah menegurnya: “Tsa’labah! Mengapa engkau tergesa-gesa pulang. Tidakkah engkau berdoa terlebih dahulu. Bukankah tergesa-gesa keluar dari masjid adalah kebiasaan orang-orang munafik?”

Tsa'labah menghentikan langkahnya. Beliau sangat malu kerana ditegur oleh Rasulullah SAW, maka terpaksalah dia berterus terang kepada Rasulullah. "Wahai Rasulullah, kami hanya memiliki sepasang pakaian untuk solat dan ketika ini isteriku di rumah belum melaksanakannya solat kerana menunggu pakaian yang aku kenakan ini. Pakaian yang hanya sepasang ini kami gunakan untuk solat secara bergantian. Kami sangat miskin. Untuk itu, ya Rasulullah, jika engkau berkenan, doakanlah kami agar Allah menghilangkan semua kemiskinan kami ini dan memberi rezeki yang banyak."

Pada mulanya Rasulullah SAW menolak permintaan tersebut sambil menasihati Tsa'labah agar meniru kehidupan Baginda sahaja. Namun Tsa'labah terus mendesak beberapa kali. Akhirnya dia mengemukakan alasan yang sering kita dengar: "Ya Rasulullah, bukankah kalau Allah memberikan kekayaan kepadaku, maka aku dapat memberikan kepada setiap orang haknya?"

Rasulullah SAW akhirnya mendoakan Tsa'labah. Kemudian Rasulullah SAW memberikan kambing betina yang sedang bunting kepada Tsa’labah: "Peliharalah kambing ini baik-baik", pesan Rasulullah. Ternakannya mula berkembang biak sehingga dia terpaksa membina ladang ternakan yang agak jauh dari Madinah. Seperti yang diduga, setiap hari dia sibuk menguruskan ternakannya. Lama-kelamaan, dia tidak lagi menghadiri solat berjemaah bersama Rasulullah SAW di siang hari.

Hari-hari seterusnya, ternakannya semakin membiak, sehingga semakin sibuk pula Tsa'labah mengurusnya. Kini, dia tidak dapat lagi berjemaah bersama Rasulullah SAW. Bahkan menghadiri solat Jumaat dan solat jenazah pun tak dapat dilakukannya lagi.

Ketika turun perintah zakat, Rasulullah SAW memerintahkan dua orang sahabat untuk mengambil zakat daripada Tsa'labah. Sayang, Tsa'labah menolak utusan Nabi itu. Ketika utusan Nabi datang melaporkan masalah Tsa'labah ini, Nabi menyambut utusan itu dengan ucapan beliau: "Celakalah Tsa'labah!" Rasulullah SAW murka, dan Allah SWT pun murka!

Ketika itu turunlah ayat Quran dari Surah At-Taubah ayat 75-78: "Dan di antara mereka ada yang telah berikrar kepada Allah: "Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang soleh."

”Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaNya, mereka kikir dengan kurnia itu, dan berpaling, dan mereka memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran).“

“Maka Allah menimbulkan kemunafikan dalam hati mereka sampai pada waktu mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang telah mereka ikrarkan kepadaNya dan (juga) kerana mereka selalu berdusta.”

”Tidaklah mereka tahu bahawasanya Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka, dan bahawasanya Allah amat mengetahui yang ghaib?"

Tsa'labah mendengar ada ayat turun mengecam dirinya, dia mulai ketakutan. Segera dia menemui Rasulullah SAW sambil menyerahkan zakatnya. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya: "Allah melarang aku menerimanya." Rasulullah SAW mengambil segenggam tanah lalu ditaburkan di atas kepala Tsa’labah: “Inilah perumpamaan amalanmu selama ini, sia-sia belaka. Aku telah perintahkan agar engkau menyerahkan zakat tetapi engkau menolak, celakalah engkau Tsa’labah”.

Tsa'labah menangis tersedu-sedu. Setelah Rasulullah SAW wafat, Tsa'labah menyerahkan zakatnya kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a., kemudian Saidina Umar Al-Khattab r.a., tetapi kedua Khalifah itu menolaknya. Tsa'labah akhirnya meninggal dunia pada masa pemerintahan Saidina Utsman Al-Affan r.a.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Bersedekahlah, dan jangan tunggu satu hari nanti di saat engkau ingin bersedekah tetapi orang miskin menolaknya dan mengatakan 'kami tidak memerlukan wangmu, yang kami memerlukan adalah darahmu’!"

Di manakah Tsa'labah sekarang? Jangan-jangan kitalah Tsa'labah-Tsa'labah baru yang dengan linangan air mata memohon agar rezeki Allah turun kepada kita, dan apabila rezeki itu diterima, dengan sombongnya akhirnya kita lupakan kemurahan Allah SWT.

Apakah mungkin kitalah Tsa'labah? Mungkin benar, mungkin tidak. Tetapi yang nyata, Tsa'labah masih hidup dan ‘mazhab’nya masih popular sehingga kini...

Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan