.

Halaman

Jumaat, 7 Mei 2010

Khilafah Yg Dijanjikan

KHILAFAH JANJI YANG PASTI, TERUSKAN BERJUANG WAHAI SERIKANDI!

“Kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar.”

Peribahasa melayu ini mencerminkan bagaimana dan betapa besarnya tugas seorang pemimpin. Pemimpin adalah tempat rakyat mengadukan nasib mereka. Pemimpin ibarat ‛khadam’ kepada umat, kepada merekalah disandarkan segala pengharapan. Mereka memastikan kebajikan, kehormatan, keselesaan, kebahagiaan, keamanan, dan segala yang menjadi milik umat sentiasa terjamin dan terbela. Justeru, amanah yang berat ini jika direnungi, seharusnya membuatkan seseorang itu gentar untuk meneruskan cita-cita yang paling diimpikan orang setiap yang bergelar manusia ini. Mana tidaknya, jika kuasa sudah berada dalam genggamannya, seluruh pengikut tunduk patuh akan katanya, dibentangkan permaidani merah di sepanjang langkahnya, disebut-sebut segala bakti dan sumbangannya, disanjung dan dijulang tinggi namanya, punya wang ringgit berjuta-juta, serasa dunia miliknya ... sungguh indah.

Sewajarnya pemimpin memikul amanah yang diberikan kepadanya dan merasa takut jika amanah tersebut tidak dilaksanakan olehnya, bukan semata-mata merasa hebat apabila dilantik oleh rakyat, kerana di bahu mereka telah diletakkan pertanggungjawaban yang sudah pasti akan ditanya oleh Pencipta di hari pembalasan. Oleh itu pemimpin harus sentiasa kembali merenung contoh yang ditunjukkan oleh junjungan mulia, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam dalam menyempurnakan tugasnya. Sejenak kita telusuri sirah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam, bagaimana baginda bertindak selaku pemimpin umat Islam yang hebat apabila membuat pembelaan ke atas maruah seorang Muslimah yang telah dicabuli kehormatannya oleh si tukang emas Yahudi daripada Bani Qainuqa’. Serangan dari tentera Muslim bermula setelah pengaduan daripada keluarga lelaki muslim yang telah terbunuh akibat mempertahankan maruah muslimah yang tersingkap auratnya akibat perbuatan jahat kaum Yahudi tersebut. Pembelaan yang dilakukan oleh seorang yang bergelar pemimpin umat Islam telah berjaya melenyapkan seluruh Yahudi Bani Qainuqa’ dari bumi Madinah. Begitulah besarnya tanggungjawab seorang pemimpin, walau apa jua bentuk permasalahan yang menimpa, pasti pemimpin tampil menyelesaikannya. Ibarat condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan.

Demikian juga kisah mengenai seorang wanita muslim yang telah ditahan dan dicabul kehormatannya oleh puak Rom. Wanita tersebut dengan pantas menerima bantuan ketenteraan daripada tentera muslim setelah Khalifah Mu’tasim mendengar rayuan wanita berkenaan untuk menuntut pembelaan. Bala tentera segera dikerahkan memerangi Rom, diriwayatkan tentera yang awal telahpun sampai di tempat kejadian, sementara tentera yang terakhir baru sahaja mula melangkah menuju ke Rom. Betapa ramai bilangan tentera Muslim yang memperjuangkan maruah seorang wanita Muslim. Indah sungguh kehidupan ini dengan adanya Islam dan adanya seorang pemimpin yang menjadi perisai kepada rakyatnya. Sejajar dengan sebuah hadis di mana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda;

إنما الإمام جنة يقاتل من ورائه ويتقى به

“Sesungguhnya Imam (khalifah) itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung.” [HR. Muslim]

Ironinya bagaimanakah sikap seorang pemimpin hari ini? Di manakah perisai umat ini? Yang pasti, perisai umat ini sudah hilang, insan yang sering memberi pembelaan dan menjamin kesejahteraan umat, kini sudah tiada. Daulah Islam yang pernah menaungi dunia berabad lamanya, kini sudah musnah. Maruah kaum muslimah sudah tiada pembelaan, malah semakin hari semakin menjadi-jadi penindasan terhadap wanita. Pernahkah terfikir di benak kita, mengapa semua ini berlaku? Tanggal 3 Mac 1924 menyaksikan bermulanya lakaran hitam dalam sejarah umat Islam sehingga ke hari ini. Tahun ini, bertepatan 3 Mac 2010, genaplah 86 tahun umat Islam menjadi yatim piatu. Peristiwa hitam yang tidak akan dilupakan bagi pendakwah Islam khususnya dan umat Islam umumnya. Tarikh keramat ini saban tahun, menghantui seluruh umat yang dahagakan seorang pemimpin yang merupakan perisai kepada umatnya. Tiada beribu, tiada berayah, tiada siapa yang mahu menjaga dan membela nasib umat Islam yang hidup terumbang-ambing. Umat Islam ditimpakan dengan pelbagai bencana yang sengaja direncanakan selayaknya ibarat tingkah si ibu tiri yang sangat kejam dan tiada peri kemanusiaan. Pembunuhan, penyiksaan, pemerkosaan, penindasan dan segala bentuk keganasan diperlakukan ke atas umat Islam.

Sehingga kini, setelah 86 tahun ketiadaan pemimpin umat Islam/Khalifah, umat semakin jauh daripada pegangan syariat Allah. Taraf kaum wanita kembali dihinakan sama seperti sebelum kedatangan Islam, malah ada waktunya lebih hina daripada sebelum kedatangan Islam.

Taraf Wanita Pada Pandangan Masyarakat Dahulu
Suatu ketika dahulu, wanita dipandang terlalu hina oleh masyarakat. Pada zaman kuno, mereka dianggap sebagai makhluk yang serba kekurangan. Tidak mempunyai taraf dan personaliti. Tidak berpendidikan sehingga peranannya hanya sekadar untuk memuaskan kehendak suami dan melahirkan anak. Namun, jika anak yang dilahirkan itu hodoh, maka wanita tersebutlah yang akan menjadi mangsa pembunuhan. Kejam dan sunguh hina nilai wanita ketika itu.

Ahli falsafah Yunani kuno pernah menyeru kepada masyarakat supaya mewujudkan satu sistem perkongsian wanita secara bebas, menjadikan wanita itu milik bersama. Boleh melahirkan anak bagi mana-mana lelaki yang mahukannya. Wanita itu tidak ubah seperti kandang yang terbuka. Malah sistem perkahwinan dan rumahtangga juga dihapuskan sama sekali.

Di Greek pula, wanita diibaratkan seperti pohon yang beracun, tumbuhnya untuk memberi rahmat dan nikmat, tetapi sebenarnya adalah racun berbisa yang hanya membawa kesengsaraan. Taraf wanita juga dipandang rendah dan hina pada masyarakat Cina di mana mereka dijual dan digadai untuk menyelesaikan hutang atau dijadikan barang mainan sebagai hiburan kepada kaum lelaki.

Wanita juga pernah direndahkan tarafnya malah lebih rendah daripada binatang. Wanita dianggap sebagai perangkap yang menggoda dan punca kesesatan. Wanita ditafsir seperti kala jengking yang setiap saat akan menyepit dan umpama syaitan yang suara siulannya adalah siulan ular. Disebabkan wanita tidak berguna kepada lelaki, maka mereka harus dijauhkan daripada pelajaran dan menerima pendidikan.

Lain pula halnya ketika di zaman Jahiliyyah, malang sekali jika si ibu melahirkan seorang anak perempuan. Anak tersebut dengan segera akan dibenamkan ke dalam lubang dan dikuburkan hidup-hidup. Ini kerana, mereka malu dengan kelahiran anak perempuan ke dunia yang akan membawa kecelakaan dan kehinaan pada masyarakat Arab dahulu. Hal ini dirakamkan melalui firman Allah:

“Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padam) mukanya dan ia sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya dari khalayak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memelihara dengan menanggung kehinaan atau akan menguburkan ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu” [TMQ An-Nahl (16): 58-59]

Itulah status wanita dan bagaimana wanita diperlakukan sebelum kedatangan Islam. Islam datang sebagai rahmatan lil-’alamin. Ternyata setelah Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam, martabat wanita dimuliakan. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:

“Berpesanlah kamu dengan berbuat baik kepada wanita.” [Sahih Bukhari]

Islam yang dibawa oleh utusan Allah, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam, telah mengangkat status dan martabat wanita sekaligus memuliakan wanita sesuai dengan fitrah semulajadi manusia. Ini jelas melalui firman Allah di dalam al-Qur’an, antaranya Allah berfirman:

“Maka Tuhan mereka memperkenankan doa mereka (dengan friman Nya): Sesungguhnya Aku tidak akan mempersia-siakan amal orang-orang yang beramal daripada kamu, samada lelaki atau perepmpuan (kerana) sebahagian kamu (adalah keturunan ) setengah yang lain” [TMQ Al-Imran (3): 195]

“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya kami akan beri balasan kepada mereka dengan pahala lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan” [TMQ An-Nahl (16): 97]

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan sebahagian daripada mereka adalah penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ At-Taubah (9): 71]

“Sesungguhnya lelaki Islam dan perempuan Islam, lelaki beriman dan perempuan beriman, lelaki yang taat dan perempuan yang taat, lelaki yang benar dan perempuan yang benar, lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, lelaki yang merendah diri (kepada Allah) dan perempuan yang merendah diri, lelaki yang bersedekah dan perempuan yang bersedekah, lelaki yang berpuasa dan perempuan yang berpuasa, lelaki yang memelihara kehormatannya dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki yang banyak berzikir menyebut nama Allah dan perempuan yang banyak berzikir menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka seluruhnya keampunan dan pahala yang besar.” [TMQ Al-Ahzab (33): 35]

Muliakah Martabat Wanita Hari Ini?
Persoalannya sekarang, di manakah status wanita hari ini, masihkah di tempat yang sama sepertimana Islam tempatkan mereka? Terbelakah maruah wanita hari ini sebagaimana Islam membela mereka? Masih adakah pemimpin yang benar-benar membela nasib wanita? Sungguh malang kerana jawapan kepada setiap persoalan tadi sememangnya negatif dan menghampakan. Betapa wanita hari ini perlu berjuang untuk membela nasib mereka sehinggakan bulan Mac dijadikan satu bulan yang khas bagi kaum wanita. Saban tahun, tanggal 8 Mac, seantero dunia akan meraikan Hari Wanita Sedunia. Tahun ini, Hari Wanita disambut lagi dengan tema tersendiri, “Equal Rights, Equal Opportunities: Progress for All”.

Perjuangan wanita mendapat sambutan di semua lapisan masyarakat. Daripada pihak kepimpinan masyarakat, ahli politik, ahli akademik sehingalah ke peringkat akar umbi. Di negara kita misalnya, Hari Wanita Sedunia mendapat perhatian Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di mana beliau melalui laman sesawang telah menyeru kepada kaum wanita khususnya untuk sama-sama merealisasikan pelaksanaan langkah-langkah yang boleh membantu para ibu yang bekerjaya. Beliau juga menyokong dan turut berbangga dengan perjuangan gerakan wanita di Malaysia yang tidak pernah gentar dan mengalah dalam memperjuangkan kesaksamaan gender dan hak wanita di Malaysia. Malah, beliau juga akan turut bekerjasama dalam merangka strategi ke arah mewujudkan dasar atau program yang dapat membantu wanita.

Sementara seorang lagi tokoh, ahli akademik yang merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia yang kini melanjutkan pengajiannya di United Kingdom, Puan Nik Salida Suhaila Nik Saleh dipetik sebagai berkata:

”Cabaran terkini ialah mengubah perspektif bahawa fizikal manusia sama, maka tiada siapa yang akan menjadi mangsa kekejaman fizikal kepada sesiapa. Walaupun tidak mudah direalisasi, banyak hakikat membuktikan wanita perkasa kerana percaya mereka berupaya.” [Berita Harian 4 Mac 2010]

Kenyataan ini dikeluarkan kerana membahas isu yang mengatakan bahawa wanita dan kanak-kanak adalah makhluk yang lemah, sedangkan tidak semua mereka lemah, begitu juga dengan kaum lelaki, tidak semua lelaki kuat. Tetapi kerana masyarakat umum terbina dengan pengaruh sosial dan budaya begitu, maka realiti membenarkan bahawa wanita dan kanak-kanak adalah lemah dan boleh dibelasah.

Di sini sekali lagi seharusnya kita mengetuk pintu minda kita, bertanya kepada akal yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, layakkah wanita dibiarkan bersendirian berjuang menuntut hak mereka? Patutkah wanita dikelirukan dengan memperjuangkan hak-hak yang tidak syar’ie yang ditimbulkan oleh pemikiran sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan? Sejauh manakah perjuangan wanita yang dilaungkan oleh golongan-golongan feminis ini mampu menyelesaikan masalah wanita itu sendiri? Ironinya masalah-masalah sosial yang melibatkan kaum hawa tak kunjung reda, malah semakin parah. Penzinaan, rogol, sumbang mahram, ragut, pembuangan bayi di merata tempat dan pelbagai ragam masalah yang tidak pernah ada penghujungnya, seolah-olah tiada titik noktahnya. Justeru masihkah kita mengharapkan perjuangan yang tidak mendatangkan hasil ini? Tidakkah kita semua inginkan penyelesaian hakiki kepada semua permasalahan ini? Tidakkah kita semua menginginkan penyelesaian yang bersifat “once-for-all”?

Musuh-musuh Islam sentiasa berusaha untuk melemahkan umat ini. Tak boleh tanduk, telinga dipulaskan; begitulah perumpamaan rancangan licik musuh-musuh Islam yang hampir tidak disedari oleh umat Islam hari ini. Benarlah firman Allah:

“Orang-orang Yahudi dan Nasara tidak akan redha kepada kamu (Muhammad) sehingga kamu mengikuti jejak langkah (agama) mereka ...” TMQ Al-Baqarah (2): 120]

Mereka tidak perlu memaksa umat Islam untuk keluar daripada agama Islam, cukup bagi mereka untuk memesongkan akidah umat ini, daripada berpegang kepada Islam sepenuhnya kepada hanya berpegang untuk urusan-urusan keagamaan semata-mata. Jadilah umat ini hamba kepada sistem sekular kapitalis yang diasaskan oleh musuh-musuh Islam. Jadilah umat ini khadam yang taat kepada sistem dan ideologi selain daripada Islam sehinggakan perjuangan membela wanita sekalipun telah dilakukan oleh badan-badan NGO dengan perjuangan yang amat mengelirukan. Di manakah perjuangan untuk mencari semula pemimpin umat Islam yang telah hilang? Ke mana perginya perjuangan hakiki untuk mencari perisai umat ini?

Khatimah
Sesungguhnya umat Islam (secara umumnya) dan Muslimah (secara khususnya) telah dipesongkan dari landasan perjuangan yang sebenar. Muslimah telah disogokkan dengan satu kefahaman halus yang tidak disedari iaitu untuk meninggalkan kewajiban utamanya sebagai umm[un] wa rabbah al-bayt (sebagai ibu dan pengatur rumah tangga), lalu menjadi feminis sejati yang betul-betul membebaskan diri daripada hukum Islam dengan sukarela.

Oleh karena itu, marilah kita bersatu berjuang melawan idea liberal dan ide gender equality serta menjelaskan konspirasi di sebalik idea-idea tersebut di bawah payung PBB, yang bersifat internasional. Namun, kita tidak akan dapat melenyapkan idea feminisme maupun liberalisme ini sampai ke akar umbinya kecuali kita memiliki kepemimpinan politik secara internasional, yaitu Khilafah ’ala Minhaj an-Nubuwwah.

Inilah saatnya untuk bekerja keras menegakkan kembali Khilafah yang akan menyatukan dunia Islam, menjawab tangisan pilu anak-anak, para ibu dan wanita di Palestin, Irak, Somalia, Kahsmir dan di lain-lain belahan bumi yang mana umat Islam sedang ditindas, dihinakan oleh musuh-musuh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Saatnya terjadi angin perubahan yang meliputi seluruh dunia Islam untuk mewujudkan idea Khilafah, Syariat dan Islam.

Perjuangan ini memang berat, tetapi akan menjadi lebih ringan jikalau kita lakukan bersama-sama. Perjuangan ini akan lebih cepat jikalau kita bukan hanya sekadar menjadi penonton atau menjadi pihak yang meragukan umat akan kembalinya Khilafah Islam ini. Ini adalah kewajiban besar yang wajib kita lakukan dengan perjuangan bersama. ALLAHU AKBAR !!!

“...kemudian akan kembali Khilafah 'ala Minhaj Nubuwwah” [HR Ahmad]

Wallahu A’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan